Thursday, January 31, 2013

Tidur penting untuk perkembangan otak

Sebagai ibu kepada bayi yang baru lahir setahun tiga bulan yang lalu, tidur adalah salah satu perkara yang agak genting dan penting bagi kami suami isteri. Ye lah, dah biasa tidur nyenyak malam-malam selama empat tahun, tapi bila baby lahir, jadual tidur berubah sekelip mata! Haha..tapi kat sini saya bukan nak ceritakan bagaimana jadual tu berubah. Di sini saya nak berkongsi bahawa tidur itu adalah penting bagi bayi dan kanak-kanak. Di dalam buku "Healthy Sleep Habits, Happy Child" oleh Dr. Weissbluth, beliau membincangkan yang kajian menunjukkan tidur dikaitkan dengan perangai dan perhatian di kalangan kanak-kanak.


Kanak-kanak perlu tidur untuk membesar.Otak yang tidur bukan sekadar otak yang berehat; tetapi ia adalah otak yang mampu untuk memulihkan, memproses dan melengkapkan tugas-tugas penting yang otak aktif berjaga tidak mampu untuk lakukan. Dr. Weissbluth menerangkan bahawa bayi yang tidur atau hanya tidur sebentar (nap)-(tetapi beberapa kali nap) pada waktu siang dapat membantu keupayaan otak mereka untuk berfikir. Bila kita menjadi dewasa, kesibukan kita menyebabkan kita lupa kepentingan tidur sebentar di siang hari yang dapat memulihkan otak yang penat. Kesibukan kita sebagai dewasa sehari-harian tidak membenarkan kita untuk tidur sebentar di siang hari, tetapi tidur sebentar adalah penting untuk pembesaran bayi dan kanak-kanak yang sihat.

Kepentingan tidur tidak hanya terpakai di kalangan kanak-kanak. Tahukah anda remaja memerlukan tidur yang lebih daripada pra-remaja? (Wah...pernyataan ni tentu menggembirakan remaja-remaja yang suka tidur) Jadi bagi ibubapa yang perasan akan masalah tingkah laku, keresahan, fokus dan perhatian yang menurun atau sebarang perubahan lain dalam perasaan (mood) anak-anak anda, tumpukan kepada tabiat tidur mereka. Beberapa tips daripada Dr. Gariane Gunter di dalam blognya tentang berapa jam tidur yang diperlukan sehari oleh seorang anak mengikut umur adalah seperti berikut:

    Lahir sehingga 6 bulan: 16-20 jam
    6-12 bulan: 14-15 jam
    1-3 tahun: 10-13 jam
    3-10 tahun: 10-12 jam
    11-12 tahun: 9-12 jam
    Remaja perlukan tidur selama 10-12 jam setiap malam

4 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...