Showing posts with label bayi. Show all posts
Showing posts with label bayi. Show all posts

Tuesday, June 10, 2014

Bantu bayi selsema tersumbat hidung

Sekarang ni musim sakit batuk selsema. Kalau jangkit pada anak-anak, terutama baby, memang kesian kita menengoknya. Nak-nak lagi kalau hingus meleleh, hidung tersumbat, nak menyusu pun tak selesa. Sudahnya tak berapa nak menyusu, berat badan susut, ibu nak bantu bagi supplemen pada baby melalui susu ibu pun terbantut.

Alhamdulillah, masa pergi jumpa paed di klinik, Dr ada sarankan cari 'NOSE CLEANER'. Apa tu? Haa, benda ni sangat bagus. Ni dia rupa parasnya:

Tiub belah kiri tu untuk ibu sedut melalui mulut, yang sebelah kanan tu, masukkan ke dalam hidung baby. Segala mukus yang keluar daripada hidung baby akan terkumpul kat dalam bekas yang bawah tu. Ibu sedut slow-slow dulu, kemudian tingkatkan kekuatan sedutan kalau mukus tu macam susah nak keluar (nanti akan dengar bunyi srutt srutt srutt - bunyi mukus. Nanti automatik ibu akan macam excited nak teruskan sedutan haha). Macam biasa, baby akan nangis skit (atau kuat haha) sebab tak berapa selesa. Lepas hidung dah clear, gerenti dia suka hati gelak ketawa. Senang di bawa ke mana-mana sebab disertakan sekali dengan bekas. Pengalaman saya sedut hingus baby guna nose cleaner ni memang terbaik. Baby yang mulanya susah nak menyusu, tak mau menyusu, bila kita dah keluarkan hingus (atau tahi hidung cair pun boleh!) guna tiub ni, holla! baby tak sabar-sabar nak menyusu lepas tu! Sian adik, lapar ya.


Saya beli nose cleaner ni di Manjaku, Bangi. Harga tak mahal pun dalam lebih kurang RM13-RM15, lupa la pulak. Yang saya beli ni brand Pigeon. Baru-baru ni ada nampak brand Fiffy jugak. Ok, jangan risau, ada arahan penggunaan di belakang paketnya. Cara pembersihan pun ada. Kesimpulannya memang terbaiklah nose cleaner ni.

Thursday, May 30, 2013

Penyakit-penyakit yang boleh dielakkan dengan pengambilan vaksinisasi

Entri ini adalah sambungan daripada entri ini: Jadual imunisasi bayi Malaysia

1. Tuberculosis (TB)
Tibi atau batuk kering adalah penyakit yang berjangkit melalui udara apabila kita batuk, bersin atau bernafas. Apabila TB menjangkiti paru-paru, keadaan ini dipanggil pulmonary tuberculosis. Tibi juga boleh menjejaskan tulang dan meninges (tiga lapisan se­laput yg membaluti otak dan saraf tunjang). Tanpa rawatan, orang yang mempunyai tibi boleh kehilangan nyawa disebabkan oleh komplikasi.

X-ray dada yang menunjukkan jangkitan tibi pada kedua-dua peparu. Jangkitan ditanda dengan anak panah putih dan pembentukan kaviti ditanda dengan anak panah hitam.
2. Hepatitis B
Ia adalah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B. Virus ini merebak melalui sentuhan darah atau cecair badan lain seperti air liur, air kencing dan air mani. Komplikasi jangka panjang Hepatitis B ialah akan menyebabkan kerosakan hati yang akan membawa kepada kanser hati.

3. Diptheria
Difteria menjejaskan bahagian atas sistem pernafasan  yang disebabkan oleh bakteria yang merebak melalui batuk atau bersin. Difteria boleh menghasilkan toksin yang akan menyebabkan komplikasi serius seperti kegagalan jantung atau kelumpuhan. Dalam kes yang jarang-jarang berlaku, penyakit ini boleh membawa maut. DTP adalah kombinasi vaksin yang melindungi bayi daripada tiga penyakit - difteria, tetanus dan pertussis.


Difteria menyebabkan ciri-ciri tengkuk bengkak, kadang-kala digelar “tengkuk lembu”


4. Tetanus (kancing gigi)
Kancing gigi disebabkan oleh bakteria apabila ia memasuki tubuh melalui luka yang dalam, gigitan haiwan, telinga, jangkitan gigi atau tali pusat dan luka-luka kecil. Tetanus dikenali sebagai kancing gigi (sawan mulut) kerana rahang akan terkunci bersama-sama kerana ia menjejaskan otot yang bersambung ke tulang-tulang. Kemungkinan terdapat kekejangan otot yang menyakitkan seluruh badan dan ini memerlukan rawatan di hospital. Tetanus yang tidak dirawat akan menyebabkan kematian dalam nisbah 1:3 kes.

5. Pertussis
Penyakit ini dicirikan oleh serangan batuk yang berlanjutan sehingga boleh menyebabkan kekurangan oksigen darah. Pertusis mengambil masa yang lama untuk sembuh.


Ada empat lagi penyakit berbahaya yang boleh dielakkan jika kita mengambil imunisasi untuk anak-anak kita. Nantikan entri seterusnya esok.

Wednesday, May 29, 2013

Jadual imunisasi bayi Malaysia

Artikel daripada BabyBook edisi 2010 dan Kementerian Kesihatan Malaysia


Imunisasi merupakan satu proses memberi vaksin kepada bayi bertujuan untuk mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Vaksin ialah virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan. Vaksin membantu menghasilkan imuniti kepada bayi terhadap penyakit-penyakit tertentu. Imunisasi boleh diberi secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut. Kesan sampingan vaksinasi adalah perkara biasa dan pada kebiasaannya adalah ringan dan tidak membahayakan. 

Ada beberapa vaksin yang diwajibkan diberi kepada bayi oleh Kementerian Kesihatan, tetapi, sebagai ibubapa, kita perlu juga mengambilkira beberapa vaksin tambahan lain untuk bayi iaitu:



Entri seterusnya ialah mengenai jangkitan kuman yang boleh dielakkan dengan vaksinisasi.


Friday, March 1, 2013

10 Tip Mengajar Bayi



Bayi kecil tidak semestinya tidak boleh diajar. Jika anda mahu bayi anda menjadi pintar, anda perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk membantu bayi anda mencapai sepenuhnya potensi dirinya. Bersama ini ada 10 tip untuk membantu anak anda mencapai potensi diri.

1. Pengulangan
Bayi cepat belajar jika anda sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten.  Sebagai contoh, jika anda mahu mengajar bayi anda tentang warna, sebutkan warna itu misalnya warna biru. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika anda terjumpa abjad atau nombor, sebutkan dengan kuat.  Biarkan bayi anda mendengar. Jika anda lakukan secara kerap, bayi akan cepat belajar. Anda juga boleh cuba meletakkan sekumpulan barang  berwarna sama di hadapan bayi anda. Seterusnya sentiasa mengulangi warna itu. Ini adalah teknik pengajaran yang terbaik untuk bayi. Minda anak anda adalah seperti ‘span’ pada usia ini, ia menyerap apa sahaja pengajaran yang diberikan kepadanya. Sekarang, terpulang kepada anda untuk mengisi dengan ilmu yang berguna.

2. Jangan berbahasa bayi!
Goo goo gaa gaa! Bahasa bayi yang begitu mengagumkan dan ia sememangnya sangat menarik apabila anda melihat bayi comel berbahasa begitu. Tetapi jangan ikut bahasa bayi anda, jika anda ingin mengajarnya berkomunikasi. Cara ini memang sukar, tetapi inilah cara mengajar  yang betul untuk bayi anda bercakap. Cuba jangan bercakap bahasa bayi apabila bersama dengannya.  Cuba bayangkan anda sedang bercakap dengan orang dewasa. Paling bagus bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul.  Daripada anda menggunakan ‘ne ne’  yang mewakili  susu  atau ‘mam mam’ untuk makanan.  Anda pasti teruja bila bayi anda  dapat belajar dengan pantas dengan bahasa yang betul.

3. Ganjaran
Seperti anak anda yang sudah besar, bayi juga suka diberi ganjaran. Mereka suka diberi pujian, memeluk dan menciumnya. Cubalah anda berkata ‘pandai’ sambil menepuk tangan, apabila bayi anda berjaya  memasukkan blok mainan dalam kotak kecil. Pasti bayi anda menunjukkan riak wajah gembira kepada anda. Apa yang pasti, bayi suka dibelai dan dimanja dengan ucapan sayang. Bayi sangat suka jika dirinya dipeluk dan diberi ciuman. Selain itu, anda juga boleh memberikan ganjaran dengan memberikan biskut  kegemarannya jika dia melakukan apa yang anda suka.

4. Bacakan buku
Anda pastinya sudah biasa dengan cara ini, tetapi  inilah cara istimewa untuk mengajar anak anda mengenal buku dan melatihnya untuk suka membaca buku. Bacalah kepadanya walaupun dia belum faham apa yang anda bacakan. Sambil bayi anda duduk di atas riba anda,  pegang tangannya untuk dia merasai buku itu. Tetapi kadang kala, bayi anda mungkin akan mengiggit buku, biarkan dia melakukan begitu, namun pastikan buku itu jenis kain. Dalam pada itu, teruskan  membacakan buku kepadanya  supaya dia suka membaca buku. Bayi anda akan cuba meniru anda membaca buku dan mungkin akan membaca sendiri nanti.

5. Mula awal
Ajarlah anak anda pada awal usianya. Perkenalkan perkara baru kepada anak anda. Jangan menunggu pada usia 3 atau 4 tahun baru hendak mula mengajarnya abjad, nombor dan objek-objek di sekelilingnya. Anda harus lakukan pengajaran sekarang! Bayangkan anak kecil anda boleh mengenal nombor, huruf atau warna pada awal usianya. Pasti anda gembira dengan kecemerlangannya.

6. Bersabar
Percayalah anak anda tidak akan pintar jika anda tidak menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan seperti di atas secara konsisten.  Namun anda kena bersabar untuk melakukannya kepada anak anda.  Jangan putus asa, jika anda tidak mendapat melihat perubahan anak anda. Terus melakukan pengajaran sehingga anak anda pandai.

7. Penerokaan.
Biarkan bayi anda melakukan penerokaan di sekelilingnya. Biarkan dia  belajar memegang, merasa, menghidu bau, mendengar dan melihat. Misalnya untuk bau anda boleh sediakan bunga ros, buah epal untuk dia pegang dan puppet kecil untuk dia melihat. Namun pastikan ruang itu penerokaannya itu selamat untuk anak anda belajar dengan selesa dan gembira.

8. Belajar dengan gembira
Mengajar anak bukan sesuatu yang membosankan! Nyanyilah lagu dan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak anda belajar dengan gembira. Bayangkan, anda akan dapat melihat anak anda dapat belajar dengan cepat untuk mengambil barang dalam bekas permainannya. Lakukan ia setiap hari. Pasti anak anda dapat melakukan dengan baik sekali.

9. Permudahkan
Jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada anak anda supaya dapat mengikut arahan anda dengan betul. Dia masih kecil, berilah dia masa untuk melakukannya. Jangan biarkan dia duduk sehingga 4 jam untuk belajar abjad. Lakukan aktiviti yang ringkas dan mudah dalam tempoh masa yang pendek antara 5 hingga 10 minit untuk mengelak anak anda mudah berasa bosan.

10. Teruskan!
Untuk memastikan anda berjaya mengajarnya dengan baik, lakukan pengajaran setiap hari. Jangan putus asa. Ingat anda sedang mengajar anak kecil, bukannya anak yang besar yang sudah boleh berdikari. Pengajaran satu atau dua minggu tidak mencukupi untuk anak anda. Oleh itu, lakukan ia sebagai rutin harian untuk dia mengenal tentang persekitarannya. Lakukan dengan konsisten dan fokus  supaya pembelajaran ini berjaya dengan cemerlang.

Sumber: Pa&Ma Disember 2011

Wednesday, February 27, 2013

Nutrisi bagi ibu mengandung dan bayi dalam kandungan

Kehamilan adalah waktu bermakna dan pengambilan nutrien tambahan yang seimbang adalah penting untuk tumbesaran dan kesihatan anda dan bayi. Mengambil makanan yang sihat dan seimbang sepatutnya bermula awal sebelum anda mengandung. Ia membantu anda dan bayi memulakan perjalanan kehamilan dengan nutrien yang diperlukan. Apakah nutrien-nutrien tambahan itu? Mari kita semak.

Asid folik (Vitamin B9)
Kira-kira 1 dalam setiap 1000 kehamilan terjejas oleh kecacatan tiub neural (neural tube defects: NTDs) dengan kebanyakan kes berlaku tanpa sebarang insiden sebelumnya dalam sejarah peribadi atau keluarga. Ibu yang kekurangan folat berkemungkinan melahirkan bayi pramatang atau bayi kurang berat. Fetus juga berkemungkinan menghadapi risiko NTDs seperti spina bifida dan anencephaly (keadaan yang tidak mempunyai otak). Menurut garis panduan FAO/WHO (Food and Agriculture Organisation of the United Nations/World Health Organisation), wanita yang merancang kehamilan perlu mengambil 0.4-0.8mg folat setiap hari. Wanita yang menghadapi NTDs dalam kehamilannya sebelum ini perlu mengambil 5mg folat setiap hari. 

Pengambilan supplemen ini perlu bermula sekurang-kurangnya sebulan sebelum kehamilan dan diteruskan sehingga 3 bulan pertama kehamilan.

Di mana folat?
Sayur berdaun yang berwarna hijau gelap, buah-buahan dan kekacang yang dikeringkan (dried legumes) adalah sumber folat yang baik.

Peningkatan keperluan folat
Beberapa masalah kesihatan seperti penyakit hati atau buah pinggang, penyalahgunaan alkohol, sawan dan pesakit anemia yang kurang-folat memerlukan pengambilan folat yang lebih tinggi. Ibu menyusu juga memerlukan pengambilan folat yang lebih tinggi iaitu 0.5mg setiap hari kerana folat hilang dalam susu yang diberi/susu yang diperah.

Terlebih folat?
Terlebih pengambilan folat didapati tidak memudaratkan kesihatan kerana folat adalah larut-air, oleh itu, apa-apa lebihan akan dikumuhkan melalui air kencing.

Kalsium
Seperti folat, kalsium perlu diambil sebelum kehamilan. Bagi kebanyakan dewasa, 1200mg kalsium diperlukan setiap hari untuk pembekuan darah yang normal, pembentukan tulang dan gigi yang kuat, fungsi otot dan saraf serta perkembangan rangka janin bayi anda. Tulang bayi mula membentuk seawal minggu ke 7 kehamilan. Semasa kehamilan, pengambilan kalsium dapat mengurangkan risiko kelahiran pramatang dan komplikasi praeklampsia. Tulang dan gigi janin mula membangun pada minggu ke 8. Jika ibu tidak mengambil sekurang-kurangnya 1000mg kalsium dalam diet harian, kalsium daripada tulang ibu akan disalurkan kepada janin untuk perkembangannya. Ini akan menyebabkan risiko yang tinggi untuk ibu menghidapi osteoporosis (kerapuhan tulang) bila meningkat usia.

Di mana kalsium?
Dalam produk tenusu, ikan, tauhu, kekacang, sayuran berdaun dan gandum.









Zat besi
Zat besi adalah mineral penting dalam pembentukan hemoglobin, mencegah anemia dan keletihan dan membantu tubuh menentang jangkitan. Tidak seperti kalsium yang kebanyakannya ditemui dalam tulang, zat besi disimpan di dalam tubuh badan. Vitamin C membantu tubuh ibu menyerap zat besi dalam makanan. Iron Deficiency Anemia (IDA) adalah kes paling utama dalam kekurangan nutrien.

Tanda-tanda kekurangan zat besi

  • Merasa sangat letih walaupun telah mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam
  • Kelihatan pucat dengan lengkungan hitam di bawah mata
  • Susah untuk menumpukan perhatian
  • Berdebar-debar
  • Pening
  • Sakit kepala

Zink
Zink adalah mineral yang diperlukan dalam penghasilan insulin dan enzim-enzim tertentu yang merupakan bahan yang menggalakkan tindak balas biokimia dalam badan ibu. Zink menyokong sistem imunisasi dan diperlukan untuk menyembuhkan luka. Beberapa bukti menunjukkan ibu yang kekurangan zink mempunyai waktu bersalin yang panjang.

Di mana zink?
Makanan tinggi fiber, daging, ayam, makanan laut dan hati.

Iodin
Ibubapa pada hari ini bukan sahaja mahukan bayi yang sihat tetapi juga bayi yang pintar! Iodin adalah nutrien yang penting untuk perkembangan otak janin. Kekurangan iodin menyebabkan cretinism (penyakit kerdil kongenital akibat kekurangan hormon pertumbuhan yang mengakibatkan kelembapan mental, kelambatan gigi dan eksfoliasi gigi desidus, pembesaran lidah, dan pengecilan mandibel) manakala terlebih iodin akan menyebabkan masalah tiroid kepada ibu dan janin. 150mcg (mikrogram) iodin sudah cukup untuk keperluan harian.

Di mana iodin?
Ikan, daging, telur, susu, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Asid Lemak Penting (Essential Fatty Acids - EPA)
EFA adalah penting untuk kesihatan otak, yang boleh ditemui dalam minyak ikan. Contohnya, DHA adalah sangat penting untuk perkembangan mata dan otak, manakala EPA diperlukan untuk fungsi otak yang berterusan dan rangsangan saraf. Kedua-dua DHA dan EPA adalah penting terutamanya pada trimester yang terakhir.

Makanan yang perlu dielakkan
Sepanjang kehamilan, adalah dinasihatkan untuk ibu-ibu tidak mengambil makanan seperti produk tenusu, daging, ayam, ikan dan telur mentah, makanan diproses (makanan dalam tin dan sebagainya), susu yang tidak dipasturkan, sayuran dan buahan yang tidak dibasuh, kafein, hati dan merkuri yang selalunya ditemui dalam ikan jerung, ikan tuna dan makerel.

Sumber: Dr. Loo Suat Chin, Pakar O&G

Tuesday, February 26, 2013

Testimonial set penyusuan susu ibu

Bagi ibu-ibu yang masih tercari-cari produk yang boleh membantu menambah susu badan atau kurang yakin dengan keberkesanan produk ini dalam membantu masalah kurang susu ibu-ibu, mari kita baca testimoni-testimoni daripada ibu-ibu yang telah mendapatkan dan mencuba produk daripada set penyusuan susu ibu daripada Shaklee.






Testimonial 1:

Testimonial 2:

Testimonial 3:

Testimonial 4:

Testimonial 5:

Testimonial 6:

Ibu-ibu, belum cuba, belum tahu. Hubungi saya untuk mendapatkan khidmat nasihat lanjut.

** Semua testimoni/penulisan tentang produk yang dikongsi di sini bukan bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnos atau menyembuhkan apa jua penyakit. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar perubatan.

Boleh hubungi saya melalui:

sms: 012-2923 994
emel: adzah.adam[at]gmail.com
fb: LetsBeBeautifulTogether
Shaklee ID: 888149

Tuesday, February 19, 2013

60 sebab kita perlu sayang bayi

Kasih sayang adalah naluri yang ada pada setiap insan yang bergelar manusia. Begitu juga dengan kehadiran bayi  yang menjadi kesayangan buat mereka yang bergelar ibu bapa. Sudah tentu, detik-detik manis bersama bayi adalah sesuatu yang mengembirakan. NORHASLIZA YUSOFF menyediakan 60 sebab anda sayang kepada bayi.  

  1. Bayi anda kelihatan sungguh comel apabila memakai baju yang cantik dan baru.
  2. Bayi dan anda bermain di bilik sendirian dalam suasana yang nyaman.
  3. Anda menyanyikan lagu tepok amai-amai sambil memegang tangannya.
  4. Bayi menujukkan riak wajah gembira apabila mendengar suara nyanyian anda walaupun  agak sumbang.
  5. Seharian anda gembira apabila melihat bayi anda tersenyum buat kali pertama.
  6. Anda dapat menghabiskan masa bersama bayi anda sambil menonton rancangan televisyen kegemaran anda.
  7. Bayi anda tidak kisah apa jua permainan yang diberikan kepadanya. Bayi anda sentiasa menunjukkan rasa gembirannya walaupun hanya diberi permainan kotak kecil sahaja.
  8. Anda boleh lakukan apa sahaja dengan bayi anda seperti menari sambil mendukungnya. Pastinya bayi seronok dengan gerakan ke kanan dan ke kiri.
  9. Bayi akan sentiasa tersenyum apabila melihat wajah anda. Ia pengubat duka anda.
  10. Anda bukan supermodel yang cantik dan menawan, tetapi bayi tetap suka melihat wajah anda siang dan malam.
  11. Anda tetap hebat di hati bayi anda!
  12. Rambut bayi lembut membuatkan anda suka membelainya.
  13. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh bayi adalah yang sebenar, tulus, dan murni.
  14. Wajah bayi yang begitu suci membuatkan anda suka menatapnya setiap masa.
  15. Badan bayi yang gebu membuatkan anda suka menyentuhnya bila-bila masa.
  16. Bayi menjerit kegembiraan apabila melihat kelibat anda.
  17. Tangisan bayi akan berhenti apabila anda dekat kepadanya.
  18. Anda seronok berbual dengannya walaupun bayi belum faham apa yang anda ucapkan.
  19. Bayi membuatkan anda merasakan dunia ini aman dan damai.
  20. Ciuman anda akan membuatkan bayi tersenyum dan ketawa.
  21. Sekali-sekala anda akan mengeletek badan bayi dan bayi akan menunjukkan aksi geli. Sungguh lucu sekali!
  22. Bayi bertepuk tangan dan ketawa apabila melihat anda melangkah masuk ke dalam bilik.
  23. Bayi seronok apabila anda mendukungnya.
  24. Juga siapa lagi akan membuatkan anda bangun dengan penuh bersemangat waktu pagi. Pastinya bayi comel anda!
  25. Bayi anda tersenyum semasa tidur, membuatkan anda merasakan  bayi sangat gembira dengan kehidupannya.
  26. Anda sanggup menghabiskan masa yang lama untuk melihat bayi anda tidur yang membuatkan anda merasa gembira bergelar ibu atau bapa.
  27. Pelbagai jenama pakaian dipasaran yang menawan hati anda untuk digayakan oleh bayi anda.
  28. Jika anda sedang bersedih, bayilah  ‘pengubat’ hanya dengan melihat wajah bayi yang comel ini.
  29. Sekarang masa anda banyak bersama bayi. Sungguh menyeronokkan!
  30. Sungguh bahagia selepas 30 minit melihat bayi anda menyusu badan. (Penyusuan susu ibu seelokkan dilakukan antara 15 hingga 20 minit untuk setiap payu dara kanan dan kiri.)
  31. Anda sunggup minum air dengan banyak dan makan makanan berkhasiat penambah susu dan pam susu 3 jam sekali (bagi ibu yang bekerjaya) setiap hari demi memastikan anda dapat memberikan penyusuan ibu secara eksklusif buat bayi anda. 
  32. Comelnya kaki kecil bayi! Anda meniup dan mengusik-usik di telapak kakinya.
  33. Tangan kecilnya juga comel!
  34. Bayi adalah teman terbaik untuk anda habiskan masa berjam-jam di kedai permainan kanak-kanak.
  35. Bayi anda mengajar anda menghargai masa walaupun ketika itu baru jam 5 pagi!
  36. Bayi membuatkan anda tidur awal kerana anda tertidur selepas menyusu susu badan kepadanya.
  37. Anda terlalu sibuk untuk memikirkan kesan parut selepas melahirkannya.
  38. Bayi anda akan mendengar semula lagu-lagu anda semasa bayi dulu yang  hampir anda lupa.
  39. Bayi anda sudah boleh makan. Walaupun wajahnya comot. Bayi anda tetap comel!
  40. Bayi anda menunjukan keseronokkan semasa anda memandikannya.
  41. Bau wangi badan bayi selepas mandi cukup menyenangkan anda.
  42. Anda sanggup mencari mandian yang terbaik untuk bayi kerana kulit bayi begitu sensitif dan lembut.
  43. Bayi anda memberikan senyuman semasa anda melakukan urutan padanya.
  44. Anda tersenyum puas apabila bayi memandang ke arah ibu bapa anda yang kini sudah bergelar datuk dan neneknya.
  45. Walaupun badan anda letih, tetapi tetap luangkan masa untuk membacakan buku cerita kanak-kanak kesukaan bayi anda berulang kali.
  46. Walau apa yang berlaku dalam kehidupana anda, bayi tetap memikirkan anda yang terbaik dalam kehidupannya.
  47. Gerakkan badan dan cara bayi merangkak atau membalingkan telefon kesayangan anda, semua itu anda anggap sebagai penerokaan buat bayi anda.
  48. Anda mejerit kegembiraan apabila melihat bayi anda sudah boleh meniarap.
  49. Bayi membuatkan anda berasa diri hebat, kuat dan tahan lasak yang anda tidak sedari sebelum kelahirannya. 
  50. Anda menjadi penenang buat bayi dengan memeluk eratnya yang menangis setelah diberi suntikan imunisasi.
  51. Gelagat bayi anda memasukkan jari kaki ke mulut, tampak comel sungguh!
  52. Bayi anda sakit. Kekuatan supermum anda terserlah!
  53. Anda menjaga bayi dengan penuh berhati-hati kerana dia masih kecil.
  54. Anda menjadi seorang yang cerewat untuk membeli segala kelengkapan bayi supaya bayi selesa dan selamat dalam jagaan anda.
  55. Wajah bayi seiras anda  dan suami. Anda tersenyum apabila ada teman berkata, “Mata bayi seiras seperti kamu.”
  56. Setelah minum susu, anda akan sendawakan bayi.  Arrrr! Sungguh comel bunyi sendawa daripada permata hati anda yang kecil ini. 
  57. Bayi mengajar anda menjadi seorang yang tidak pentingkan diri sendiri. Walaupun anda letih, anda tetapi memberi tumpuan kepada perkara asas bayi.
  58. Anda dapat melihat kehebatan suami anda apabila sanggup menyalin lampin bayi. Biarpun dia tidak dapat menandingi anda tetapi dia berjaya menyalin lampin tanpa bayi menangis.
  59. Anda dan suami tidak sabar untuk melihat perkembangan bayi setiap bulan.
  60. Anda, suami dan bayi menjalani kehidupan yang harmoni sebagai sebuah keluarga.
(Sumber: Majalah Pa&Ma Februari 2013)

Thursday, January 31, 2013

Tidur penting untuk perkembangan otak

Sebagai ibu kepada bayi yang baru lahir setahun tiga bulan yang lalu, tidur adalah salah satu perkara yang agak genting dan penting bagi kami suami isteri. Ye lah, dah biasa tidur nyenyak malam-malam selama empat tahun, tapi bila baby lahir, jadual tidur berubah sekelip mata! Haha..tapi kat sini saya bukan nak ceritakan bagaimana jadual tu berubah. Di sini saya nak berkongsi bahawa tidur itu adalah penting bagi bayi dan kanak-kanak. Di dalam buku "Healthy Sleep Habits, Happy Child" oleh Dr. Weissbluth, beliau membincangkan yang kajian menunjukkan tidur dikaitkan dengan perangai dan perhatian di kalangan kanak-kanak.


Kanak-kanak perlu tidur untuk membesar.Otak yang tidur bukan sekadar otak yang berehat; tetapi ia adalah otak yang mampu untuk memulihkan, memproses dan melengkapkan tugas-tugas penting yang otak aktif berjaga tidak mampu untuk lakukan. Dr. Weissbluth menerangkan bahawa bayi yang tidur atau hanya tidur sebentar (nap)-(tetapi beberapa kali nap) pada waktu siang dapat membantu keupayaan otak mereka untuk berfikir. Bila kita menjadi dewasa, kesibukan kita menyebabkan kita lupa kepentingan tidur sebentar di siang hari yang dapat memulihkan otak yang penat. Kesibukan kita sebagai dewasa sehari-harian tidak membenarkan kita untuk tidur sebentar di siang hari, tetapi tidur sebentar adalah penting untuk pembesaran bayi dan kanak-kanak yang sihat.

Kepentingan tidur tidak hanya terpakai di kalangan kanak-kanak. Tahukah anda remaja memerlukan tidur yang lebih daripada pra-remaja? (Wah...pernyataan ni tentu menggembirakan remaja-remaja yang suka tidur) Jadi bagi ibubapa yang perasan akan masalah tingkah laku, keresahan, fokus dan perhatian yang menurun atau sebarang perubahan lain dalam perasaan (mood) anak-anak anda, tumpukan kepada tabiat tidur mereka. Beberapa tips daripada Dr. Gariane Gunter di dalam blognya tentang berapa jam tidur yang diperlukan sehari oleh seorang anak mengikut umur adalah seperti berikut:

    Lahir sehingga 6 bulan: 16-20 jam
    6-12 bulan: 14-15 jam
    1-3 tahun: 10-13 jam
    3-10 tahun: 10-12 jam
    11-12 tahun: 9-12 jam
    Remaja perlukan tidur selama 10-12 jam setiap malam

Friday, December 7, 2012

Saturday, October 20, 2012

Thursday, October 18, 2012

[Anak kita] Tekstur makanan pelengkap untuk bayi

Sila klik gambar untuk gambaran lebih jelas
Sumber daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya

Tuesday, September 18, 2012

[Anak kita] Kumpulan makanan bayi

Sumber daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya

Tuesday, September 11, 2012

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...