Wednesday, March 6, 2013

4 hormon dalam kesuburan wanita

Alam perkahwinan biasanya diserikan dengan kehadiran cahaya mata, tetapi akhir-akhir ini, ramai pasangan yang tidak memiliki anak walaupun lebih lima tahun berkahwin. Adakalanya wanita mengalami masalah hormon yang tidak seimbang atau mempunyai lebih hormon lelaki. Ketidakstabilan hormon ini membawa kepada masalah sukar untuk hamil.

Wanita biasanya memerlukan 4 hormon penting bagi kitaran haid yang berlaku setiap bulan. Pergerakan dan keseimbangan keempat-empat jenis hormon ini membuatkan seseorang wanita datang haid. Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, hormon wanita menjadi tidak stabil menyebabkan pengeluaran telur menjadi kurang. Sistem kesuburan wanita disebabkan banyak punca, antaranya organ ovari yang besarnya hanya 2.5 hingga 3cm mempunyai fungsi yang besar seakan-akan testis bagi lelaki.

4 hormon yang terlibat dalam kesuburan wanita adalah

1. FSH (follicle-stimulating hormone)
- Bertindak ke atas ovari bagi membantu telur membesar. Untuk lelaki, FSH merangsang pengeluaran sperma.

2. LH (luteinizing hormone)
- Membantu memecahlan telur menjadi ova dan bergerak ke tiub fallopia di mana persenyawaan berlaku. Untuk lelaki, LH merangsang pengeluaran testosteron.

3. Estrogen
- Menyediakan tempat yang selesa dan sesuai seakan tilam untuk telur membesar

4. Progesteron
- Menyokong janin agar dapat membesar dengan baik

FSH dan LH dirembeskan dari kelenjar pituitari di otak untuk bertindak ke atas ovari. Manakala estrogen dan progesteron pula dikeluarkan dari ovari dan kelenjar adrenal di puncak buah pinggang. Antara sebab 4 hormon utama tidak seimbang adalah pemakanan yang tidak teratur atau produk kesihatan yang tidak sesuai boleh menyebabkan hormon lelaki semakin tinggi dan hormon wanita berkurangan.

Punca hormon lelaki meningkat pada wanita
1. Pemakanan
2. Gaya hidup
3. Usia hamil yang meningkat
4. Penyakit seperti diabetes, yang menyebabkan hormon lelaki meningkat lebih daripada biasa

Ini akan menyebabkan Sindrom Polisistik Ovari atau Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS). Biasanya, setiap bulan, satu telur membesar dengan bantuan hormon FSH dan pada masa yang sama, rahim tidak mengeluarkan hormon tetapi mendapat arahan daripada ovari. Organ rahim menerima arahan ovari dan menyediakan tempat selesa dan sesuai seakan tilam yang diuruskan oleh hormon estrogen. Apabila telur membesar sehingga 2cm, LH akan membantu memecahkan telur menjadi ova dan bergerak ke tiub fallopia di mana persenyawaan akan berlaku. Selepas persenyawaan secara semulajadi berjaya, ia akan bergerak dan menetap di tilam rahim. Sementara itu, hormon progesteron akan menyokong janin agar dapat membesar dengan baik.


Bila salah satu hormon terganggu ini akan menyebabkan wanita sukar untuk hamil dan mudah mengalami keguguran. Biasanya wanita yang mempunyai ketidakseimbangan hormon ini seakan-akan mempunyai misai dan janggut serta dahi dan anak rambut seperti lelaki.





Terdapat beberapa hormon/sebab lain yang boleh memberikan kesan kepada kesuburan
  1. Hormon tiroid yang tidak stabil boleh menyebabkan hormon FSH/LH tidak stabil
  2. Hormon insulin yang dikeluarkan oleh pankreas bertugas menghadamkan gula dalam darah. Diabetes akan menyebabkan pengeluaran insulin menjadi rendah dan gula tidak dapat dihadamkan tetapi masuk ke dalam aliran darah dan bukan ke organ yang memerlukan. Ini memberikan kesan yang buruk kepada fungsi ovari.
  3. Hormon prolaktin biasanya dirembeskan dari kelenjar pituitari yang berfungsi untuk mengeluarkan susu ibu. Apabila ibu sedang menyusukan, paras prolaktin adalah tinggi dan mereka bisanya tidak didatangi haid. Wanita dengan prolaktin tinggi akan menyebabkan pusingan haid menjadi kacau bilau. Tempoh pusingan haid normal bagi wanita  adalah 24 hingga 35 hari. Disarankan remaja yang mempunyai masalah haid yang tidak teratur berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan sebelum terlambat atau sebelum penyakit berkenaan semakin parah.
  4. Obesiti juga boleh menyebabkan hormon tidak stabil, maka wanita perlu mempunyai berat badan yang ideal.
  5. Stres atau tekanan biasanya akan menyebabkan pengaliran darah semakin laju dan jantung berdegup kencang. Ketika stres, darah akan mengalir ke organ penting seperti otak dan jantung. Darah akan kurang mengalir ke organ lain seperti ovari.


Rawatan
Biasanya pesakit yang datang akan ditanya mengenai sejarah kesihatan, menjalani pemeriksaan hormon dalam darah, ujian ultrasound bagi diagnosis dan pakar akan memantau masalah utama. Sekiranya pesakit sudah berkahwin, mereka akan diberikan hormon bagi membesarkan telur kerana telur tidak membesar dengan baik. Selepas itu, pemeriksaan akan dilakukan pada hari ke 10 dan kemudian selang sehari bagi memantau pembesaran telur. Aapabila telur mencapai saiz 2cm, pesakit akan disuntik dengan LH untuk memecahkan telur. Ketika ini, persenyawaan akan dibiarkan berlaku secara semulajadi dan diberikan sokongan hormon progesteron bagi melindungi janin. Jika ubat yang diambil tidak cukup, pesakit perlu mengambil suntikan untuk besarkan telur dan persenyawaan berlaku secara semulajadi. Jika persenyawaan semulajadi tidak berjaya, IUI akan dilakukan, jika tidak berjaya ICSI dilakukan dan jalan terakhir adalh IVF. Adalah dinasihatkan pasangan berkahwin dan tidak hamil pergi berjumpa doktor selepas enam bulan hingga setahun berkahwin.

IUI - kaedah di mana benih suami yang telah dibersihkan/diproses, disuntik ke dalam rahim melalui faraj pada waktu isteri sedang subur.

ICSI - ia mengatasi masalah sperma atau kadar persenyawaan lemah. Ia hanya memerlukan satu sperma untuk disuntik ke dalam ovum dan persenyawaan berlaku secara semulajadi.

IVF - telur disenyawakan dengan sperma secara manual dalam tabung uji makmal. Embrio yang terhasil akan dimasukkan ke dalam rahim melalui tiub dan dapat membantu wanita yang mempunyai masalah tiub fallopia.

Sumber: Dr. Dharmini Veerakumaran, Pakar O&G Pusat Perubatan Kelana Jaya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...