Thursday, March 7, 2013
Soal jawab penyusuan susu ibu (Breastfeeding FAQ) SIRI 1
Kebaikan dan manfaat susu ibu kepada anak kita memanglah tak boleh dipertikaikan lagi...kalau disenaraikan, tak akan habis! Penyusuan susu ibu adalah satu proses semulajadi yang memerlukan latihan dan kesabaran. Jangan mudah putus asa untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita.
Di sini saya kongsikan beberapa FAQ (frequently asked questions) mengenai penyusuan susu ibu melalui pengalaman Puan Nor Kamariah Mohamad Alwi, Konsultan Laktasi daripada susuibu.com.
1. Bayi saya seperti ingin disusui pada setiap masa. Adakah ini normal?
Penyusuan susu ibu adalah sepatutnya bila diperlukan oleh bayi (on demand). Adalah normal bagi bayi menyusu dalam lingkungan 8 ke 12 kali dalam masa 24 jam. Pada awal kelahirannya, seorang bayi akan menyusu dengan lebih kerap, kerana dia sedang mengasah kemahiran penyusuannya, disamping mendapatkan keselesaan dan keyakinan daripada ibunya selepas baru dilahirkan ke dunia yang serba baharu baginya ini. Kadangkala kerana proses pembelajaran ini, seorang ibu mempunyai salah tanggapan bahawa sesi penyusuan memakan masa yang lama atau hampir setiap masa.
2. Saya tidak menghasilkan susu yang mencukupi. Apakah kemungkinan masalahnya?
Penghasilan susu yang kurang mungkin berpunca daripada pelbagai sebab. Selalunya, punca utamanya ialah payudara ibu tidak mendapat rangsangan yang cukup dalam usaha untuk ia bersedia menghasilkan jumlah susu yang diperlukan. Oleh itu, amat penting untuk ibu membiarkan bayi menyusu (suckle) dengan kerap dan berterusan pada awal kelahirannya supaya rangsangan yang mencukupi dapat diperolehi seterusnya payudara ibu dapat menghasilkan susu yang cukup. Sebaik sahaja bekalan susu yang dihasilkan mencapai tahap optimum, ia perlu dikosongkan daripada payudara secara efektif (sekosong-kosong yang boleh) kerana kegagalan melakukannya akan menyebabkan isyarat dihantar ke otak ibu supaya menghalang penghasilan susu yang seterusnya.
Tetapi ada juga beberapa kes ibu-ibu yang mengalami masalah lain yang perlu diambil perhatian. Anda perlu menghubungi kaunselor laktasi berhampiran anda untuk mendapatkan nasihat dan bantuan serta mengenalpasti masalah anda.
Antaranya anda boleh menghubungi:
a. Persatuan Penasihat dan Pakar Laktasi Malaysia (PPPLM)
b. susuibu.com
3. Bayi saya tidur sewaktu menyusu. Adakah ini normal?
Kebanyakan bayi yang puas akan tertidur selepas tamat sesi penyusuannya. Ini disebabkan oleh hormon oksitoksin yang mengalir daripada ibu kepada susu ibu. Antara fungsinya ialah supaya ibu dan bayi 'relax' dan mendapat rehat yang lebih baik.
4. Puting payudara saya sakit dan merekah. Bagaimana untuk menyembuhkannnya dan meneruskan penyusuan?
Puting sakit dan merekah biasa berlaku kerana lekapan yang tidak betul. Sangat penting untuk membetulkan kedudukan bayi ketika menyusu untuk memperbaiki keadaan ini. Sementara itu, untuk memulihkan puting yang sakit, sapukan susu ibu sendiri ke atasnya setiap kali selepas penyusuan. Biarkan ia kering sebelum memakai coli. Jika perlu, sapukan krim puting.
Kredit gambar theleakyboob.com
Kita sambung ke SIRI 2 pada esok hari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment